2016-07-19

19hb Julai 2016

 

Johor Tubuh Hab TVET Skills Johor Sebagai Pemangkin Tenagakerja Berkemahiran Menjelang 2020

Johor Bahru – Inisiatif Kerajaan Negeri Johor untuk melahirkan warga Johor yang berkemahiran akan direalisasikan dengan penubuhan Skills Johor.  Penubuhan secara rasmi dizahirkan melalui penganugerahan sebagai pentadbir induk hab bertauliah oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber  Manusia yang diadakan di sini.  Melalui penganugerahan tersebut,  Skills Johor diberikan taraf Hab Bertauliah oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) berdasarkan model hab-pusat latihan baru yang dicadangkan oleh kerajaan negeri Johor.

“Ia menjadi tanggungjawab kita untuk membuka jalan dan ruang. Agar segala bakat dan kebolehan yang berbeza ini dapat dicungkil, digilap dan dioptimumkan. Bukan sahaja dengan cara yang terbaik dan bersesuaian, malah dengan pendekatan yang juga berbeza.” Kata Dato’ Mohamed Khaled Nordin dalam ucapannya hari ini.

Majlis  penganugerahan ini disaksikan oleh Y.A.B Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dengan turut dihadiri oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Richard Riot Anak Jaem, Menteri Sumber Manusia.

Turut hadir sama di majlis tersebut ialah YB Datuk Haji Md. Jais Bin Haji Sarday Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri Johor, KSU Kementerian Sumber Manusia, Setiausaha Kerajaan negeri Johor, Naib Canselor

Universiti Teknikal Malaysia Melaka, KP JPK, KP Tenaga Rakyat, KP Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor, Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), dan Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation (JPDC).

Kerajaan negeri Johor dan Yayasan Pelajaran Johor mengeluarkan modal sebanyak RM107 Juta untuk membina hab Skills Johor. Skills Johor yang berkeluasan kira-kira 100 ekar dan terletak di Kota Tinggi merupakan yang pertama seumpamanya di negeri ini. Ia menyediakan satu dimensi baharu bagi pembelajaran kemahiran kepada lepasan sekolah dan tenaga kerja untuk melatih dan meningkatkan keupayaan diri serta dengan kapasiti untuk menampung sehingga 20,000 pelatih tempatan dan antarabangsa setahun apabila siap sepenuhnya kelak. 

Tabung Latihan Kemahiran Johor yang ditubuhkan kerajaan Johor akan menampung sebahagian pembiayaan kepada pelbagai kursus kemahiran Skills Johor. Tabung Latihan Kemahiran Johor diuruskan oleh Yayasan Pelajaran Johor dalam pengurusan dana, melantik  panel dan wakil industri serta mewujudkan panel pengawalan standard dan akreditasi. 

"Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan kerana menyokong penuh usaha untuk memartabatkan kemahiran kepada rakyat," kata Omar Shariff Mydeen, Pengarah Eksekutif Kumpulan.

“Cabaran utama ialah mengubah persepsi masyarakat sebaliknya manakala penglibatan pihak industri untuk menyediakan kurikulum latihan berasaskan keperluan industri masih kurang.”

Majlis pada hari ini merupakan satu ikon  kerjasama strategik pelbagai pihak. Kerjasama di antara kerajaan negeri Johor dan persekutuan bersama agensi-agensi di bawah kementerian dan pihak swasta, yang melibatkan hubungan kerja di antara Skills Johor dengan institusi spoke. Ia turut melibatkan kerjasama di antara penyedia latihan dan pihak industri. Ia menjadi satu kerjasama simbolik di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Johor.

Penyediaan program kemahiran di dalam industri yang berkaitan dan tenaga kerja yang terlatih oleh Skills Johor boleh membantu kerajaan negeri menyediakan tenagakerja untuk minyak dan gas, hospitaliti dan pelancongan, bioteknologi, logistik dan sektor penjagaan kesihatan.

“Kerjasama yang erat dengan Johor Petroleum Development Corporation (JPDC), Johor Biotechnology & Biodiversity Corporation (J-Biotech), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), JobsMalaysia serta Persatuan Rangkaian Peruncitan Malaysia (MRCA)  menjamin pelatih daripada Skills Johor mendapat pekerjaan yang telah tersedia oleh pihak industri.” Tambah Omar.

 

Keperluan Industri

Skills Johor berperanan dalam menyediakan keperluan pekerja mahir di kawasan industri minyak dan gas di RAPID Pengerang dan sekitarnya, kawasan pelancongan berintegrasi Desaru Coast serta cadangan pembangunan industri  lain seperti bioteknologi, logistik dan penjagaan kesihatan di Johor khasnya dan Malaysia amnya.

"Salah satu faktor utama kejayaan bagi Skills Johor yang berdaya maju ialah kewujudan rangkaian kerjasama yang sihat antara penyedia latihan dan industri. Ia bukan sekadar untuk mengambil pelajar bagi tujuan latihan dan pensijilan, ekosistem industri juga adalah penting untuk kejayaan dan kemampanan inisiatif ini, "

"Melalui usahasama di antara Skills Johor, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), JobsMalaysia, JPDC, J-Biotec, Persatuan Hotel Malaysia MAH, dan Persatuan Rangkaian Peruncitan Malasyia (MRCA) bersama rakan strategik yang lain akan menghubungkan para pelatih dengan pihak industri " jelas Omar.

Perjanjian dengan kerjasama dimeterai melalui Memorandum Perjanjian Kerjasama yang ditandatangani di antara agensi-agensi tersebut  dan Johor International Skills Hub Sdn. Bhd iaitu syarikat yang akan menguruskan operasi Skills Johor.  

"Kami akan bekerjasama rapat dengan Skills Johor dan industri dengan memberi tumpuan kepada lima bidang ekonomi utama di Johor, iaitu minyak dan gas, hospitaliti dan pelancongan, penjagaan kesihatan, bioteknologi dan juga logistik," kata Dato’ CM Vignaesvaran A/L Jeyandran, Ketua Eksekutif  PSMB.

 

Pengiktirafan Dalam Negara dan Antarabangsa

Skills Johor dan KPYPJ  bersama dengan rakan strategik akan mewujudkan rangkaian kerjasama dengan penyedia latihan vokasional antarabangsa seperti United Kingdom, dan  Australia, dalam menyediakan kurikulum, latihan dan pensijilan.

Antara rakan kongsi antarabangsa yang hadir dan menyokong Skills Johor pada hari ini adalah, City & Guilds dari UK,  Scottish Qualification Agency, agensi yang memantau sistem kelayakan pendidikan di Scotland, Dynamic Learning Services, iaitu sebuah organisasi latihan berdaftar (TP) dari Australia dan Brighton Education Group yang membawa masuk kepakaran dari England.

Program-program yang ditawarkan di Skills Johor adalah terdiri daripada kursus-kursus latihan jangka pendek dan sepenuh masa. Skills Johor juga bekerjasama dengan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bagi program diploma dan ijazah kemahiran vokasional.

Buat masa ini, Skills Johor dengan kerjasama PSMB menjalankan program 1Malaysia Outplacement Centre and the Generate programme. Tujuannya 1MOC bagi membantu pekerja yang diberhentian kerja berhubung dengan pihak kaunseling pekerjaan dan latihan skill baru agar mereka boleh tawarkan kerja dan menyumbang kepada ekonomi negara. Program generate pula adalah untuk graduan yang masih gagal mendapatkan pekerjaan.

Pelatih-pelatih yang menjalani latihan peningkatan kemahiran di Skills Johor ini akan mendapat manfaat daripada pengalaman dan kaedah terbaik yang dibawa oleh rakan-rakan latihan tempatan dan antarabangsa melalui program dwi pensijilan yang ditawarkan dan diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

  1. Johor International Skills Hub Sdn. Bhd.

Nama                 : Syed Yazrine Shahab

                             Hubungan Korporat

Alamat               : No.3A-18, Jalan PJU 8/3

                             Bandar Damansara Perdana

                             47820 Petaling Jaya

                             Selangor Darul Ehsan

Telefon              : 03-7710 0502

E-mel                 : [email protected]